Memaparkan catatan dengan label resepi kelansungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label resepi kelansungan. Papar semua catatan

2.6.13

Realiti

Kau tahu apa rasa apabila dapat melepaskan sepauh mimpi rapuh dan berbalik kepada kenyataan hidup yang pahit? Aduan-aduan dan segala permohonan akan diangkat ke sisi  Tuhan.

Tiada lagi percakapan-percakapan sia-sia sesama munusia. 
Yang mengeraskan hati dan menjauhkan diri rahmat Tuhan.

7.5.13

Syabas dan syukur

.....untuk kita kerana masih mampu mengawal kemarahan, kebosanan dan kekecohan. 

Dan yang lebih utama menjaga cincin perkahwinan ini dengan baik. Bukankah itu bagus untuk kita?

Dan kita sentiasa ada ketika kita saling memerlukan walau kita tidak seperti hero-heroin felem drama Korea-Jepun-Hindi atau drama Bunga Merah Punya ( ha ha ha) dan aku cukup pasti engkau bukan Hiroshi dan aku bukan Anne dalam fiksi-fiksi yang aku tulis.

Terima kasih  Encik Kekasih. 


Lagu untuk kita berdua


Indah harumnya bungaku
merah dikelopak madu
tanya hati siapa mahu
bila cinta diam membisu

Korus
Kau bunga yang penuh durinya
ku selalu memuja...

Biarpun terluka diriku
namun bungaku tetap dihati
selalu...




ha  ha ha..sweet kan  Encik Kekasih?


7.1.12

Selamat tahun baru Hiroshi



Hiroshi, rindu hampir pudar
Cinta lupus tarikh
tamat bersama mimpi sedih dan luka

Cinta yang paling diingati
barangkali cinta yang tidak mungkin dimiliki

Engkau sudah 45, dan aku 42.
apa lagi yang kita mimpikan
selain ume gugur dan polos daun
serta saat bertemu dunia kekal

Hiroshi
Selamat tahun baru
Gembira bercampur cemburu
kau temui gadis baru.

29.6.11

Hujan sepanjang hari


Hujan pagi
Kirimkan aku cinta
cinta lama
larut di bawah sepatu baru

Hujan tengah hari
hulurkan rindu
yang tertinggal sebentar tadi
di tengah aspal basah

Hujan petang
carikan aku jalan pulang
sesat sebentar dalam rintikmu
dingin, pinjamkan aku kehangatan
matahari esok pagi

Hujan malam
jika kau datang
pimpin jejariku yang basah
kerana terlalu kerap
mengesat airmata

1.59 pm

15.6.11

Anak-anak kunci yang menyesakkan rasa

Di dalam simpanan Ella, ada bergugus anak kunci. Memegang bergugus anak kunci adalah amanah yang menyesakkan jiwa,

Ella menyumpah-nyumpah kenapa kerja ini yang dipilihnya.


Buat setetika, Ella berjaya disesatkan si iblis durjuna.

Ella terlupa dia menyumpah rezeki Tuhan!

Puncanya, kerana asyik memikirkann timbunan anak kunci dua blok bangunan itu dia tertinggal anak kunci rumah sendiri.

Maka petang itu membawa ke jam delapan, bermalamlah dia dengan pc di pejabat yang haram tiada sambungan internet.

Ella, menyumpah-nyumpah kelupaannya yang semakin menjadi-jadi.

Tetapi hati kecilnya tidak pernah mahu melupakan Hiroshi.

11.6.11

Harus bernoktah


Pagi itu sesak dan bingit. Tren bertukar ganti bergerak dari planet A ke planet B. Tapi Ellie masih tidak beganjak dari tempat duduknya. Tren datang lagi bersilih ganti. Ellie sedang berfikir tren mana bisa dinaiki. Tren yang menuju destinasi yang tidak dapat dipastikan

"Kamu mahu ke mana?" Tanya seorang pemuda di bangku sebelah. Ramah.

"Saya mahu ke planet ajaib; di sana saya mau cari sebilah pisau. Mau memotong dan melampah kenangan" Ellie menjawab. Sambil tersenyum ramah.


"Ok, berapa biji Diazepam kamu telan pagi ini?"

Ellie masih tersenyum. Lebih ramah. Lebih mesra

"Oh! Bukan. Saya tidak segila Dr.House. Saya cuma pura-pura gila. " Tingkah Ellie.

"Ya, berpura-pura gila, histeria dan menulis adalah
escapism" Pemuda asing itu tiba-tiba menyetujui pandangan Ellie.

Semenjak hari itu mereka sering mundar-mandir di stesyen tren. Menunggu tren terakhir ke planet ajaib.

24.4.11

Lagu untuk Khadijah



Aku terlalu menyayangimu
kadang mendatangkan cemburu
dan curiga
di hati dia

Aku percaya, engkau juga merasa
kerana Tuhan mencipta
setiap cinta
dalam arca berbeza

16.2.11

Usah


Hati usah gusar
usah menangis
kerana keesokan hari
matahari tetap berdiri
jubah malam nan hitam tersingkap

Hati usah gusar
usah tawar
usah pijar
esok pagi akan banggun
tersenyum seperti selalu
dan dunia belum kiamat

18.12.10

Tandus

Hujan jangan hentikan gugur
pinjamkan aku sedikit kedinginan
biar malam terus dibasahi
titis-titis rindu

Esok, kala mentari melukis wajah pagi
moga aku masih sang bidadari
terus berlari, mengepak sayap
terbang kembali.

8.12.10

Separuh koma

Separuh koma. Ilham tidak datang mencurah macam hujan turun dari langit lagi.

Dan pilu meninggalkan engkau!


Cerita lain.

Nota kepada perempuan misteri berambut panjang.

Ya, aku tahulah aku pendatang dan ini tempat engkau! Tapi aku juga ada hak berada di sini.

Memang kau dan asal keturunan engkau tamak dan dengki. Maka Tuhan haramkan sorga untuk engkau.

P.S. Jangan ganggu, aku sedang siapkan kerja pejabat di rumah.

26.10.10

Sunyi luruhlah engkau!


Jam tujuh malam. Lampu-lampu jalanan menyala.
Namun, malam tetap pekat mencorak warna hitamnya.

Sangat sunyi!

Mungkin ketika-ketika yang baik untuk berdoa
Waktu-waktu yang wajar untuk memulakan kembali
Karangan-karangan yang terbengkalai

Sangat sunyi!
Tiada suara kecuali deru kipas siling berputaran
Lengkingan anjing liar yang menyeramkan

Tadi aku beranikan diri, memanjat bukit di belakang rumah.
Rupanya ada kolam kecil dan telaga
Bunga telipok masih mekar di atas permukaan air

Malam ini, resah sunyi terus menghambat diri
Walau ku cuba lepaskan diri dan
menyeru rayu agar ia segera pergi

Sunyi, segeralah luruh!

22.10.10

Yukata berwarna teluki

Dilipat, digantung dan dijaga rapi.
Umpama menjaga nyawa dan maruah diri.
Dalam lugas, hati suram dan sunyi.
Kasih yang enggan bersatu lagi
Ceritera yang sekadar termuat dalam fiksi

Sayonara!


ps:Amal . Terima kasih untuk yukata berwarna merah garang. Aneh sekali apabila kucuba mengenakannya. Mungkin kerana kulit bangsa kita - Melayu

23.8.10

Lari topik 2


Dan aku rasa mahu saman Idris Jala yang menwar-warkan bakal ke'muflis'an Kerajaan Malaya.
Termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia kerana doktor hospital kerajaan telah mengurangkan stok dan dos Diazepam aku.
.
.
.

Aku sakit dan tidak dapat mencerna ilham untuk menulis tanpa Diazepam


Kau apa tahu tentang keperluan aku, wahai bijak pandai penasihat menteri-menteri?

15.8.10

Percikan bunga api


Mohsein, di bulan Ramadhan suaranya merdu melagukan Al Qur'an. Tapi aku rasa, suaranya lebih merdu ketika dia memuji aku comel. Lagi merdu suaranya ketika memuji rambut aku yang cantik dan panjang terbuai ditiup angin.

Aku budak perempuan naif; kadang membiarkan Mohsien menocang rambut panjangku; yang melepasi bahu. Suatu pagi, ayah Mohsien ternampak akan perbuatannya. Dan keesokan hari, aku lihat kedua belah telapak tangan Mohsien ada jalur-jalur kemerahan.

Aku tanya kenapa dengan tapak tangan yang berjalur kemerahan. Dia tanpa memandang wajahku; memberitau yang tangannya terkena bunga api dan aku hanya mengangguk macam seorang budak yang benar-benar naif. Sejak itu, Mohsien tidak lagi menocang rambutku. Dan, tidak lagi mahu bermain bunga api denganku. Dan situasi itu, tidak pernah berubah sehingga tiba suatu hari.

Sungguh kejam dia!
Kenapa bukan aku; sedangkan dia boleh bermain-main dengan Azimah dan Jamilah.

Kami putus kawan!

Mohsien kembali menegurku ketika umurku mencecah 35 tahun. Dia ketika itu berusia 38 tahun, sudah beristeri dan bapa kepada dua cahayamata

Di majlis pernikahanku!

10.8.10

Lari topik


Majoriti halaman teman-teman blogger yang aku kunjungi bercerita tentang kedatangan bulan seribu rahmat, Ramadhan.


Aku, seperti Ella. Asyik terkenangkan anak kunci di tangan. Bukan satu, dua atau tiga. Bahkan bergugus anak kunci yang berada dalam simpanan sekarang. Sampai putus selera makan.

Dem!
Fiksi yang aku reka-reka rupanya menjadi nyata. Atau aku sudah dapat menjangka apa yang bakal ku lalui berdasarkan fakta mahupun fiksi.

Bagaimanapun, selamat berpuasa kepada teman-teman yang membaca

Emak berpesan seperti selalu-selalu. Berhati-hati dengan anak-anak kunci. Ia membuka pintu-pintu rahsia untuk menjerumuskan kita kepada dua lorong; samada pahala atau dosa.

29.7.10

Cinta


Sudah legam rupanya di celah puntungan
kayu-kayu kering berselerakan
menanti jadi debu ditiup bayu
membaja lalu berputik benih baru

kau tahu
aku tahu
setiap hari
kita tak pernah berhenti
berlari
mengejar dan mendodoi
mimpi

25.7.10

Jika kau datang malam ini





Aku sediakan kamu secangkir kopi panas
dan selimut paling tebal
kerana hujan sedang menajamkan belati rintiknya
dan cuba mencantas simpulan kasih kita.

Ah! Terhakis


Entah kenapa
tiada upaya menghasilkan apa-apa
barangkali benar
kerja meminitkan surat-surat
dan mengira itu ini
menjadikan kalam indah rentung
runtuh, tenggelam dan hilang
di celahan timbunan fail
tersepit di celahan mesin-mesin fotokopi
tersorok di sebalik askara-askara papan kekunci

PS: Ninnie, maafkan aku. Barangkali aku sudah hampir kalah dalam 'menghidupkan' watakmu. Gagal menyambung cerita cintamu.

Kisah cinta kita
Dalam fiksi!

19.7.10

Selamat kembali kak D

Catatan dia berakahir di sini. Dan aku tak pernah bertemunya walau sekali pun. Sesekali aku ada sms dia bertanyakan khabar. Kadang dia sms aku, bertanyakan khabar aku dan Muha.

Bila ku tahu dia sudah 'pergi' ada kekesalan di hati kerana aku rasa aku lebih mementingkan diri.

Selamat pulang rakan/kakak yang tidak pernah ku temui.

Kak, aku juga takut ini catatan terakhirku.

Al- Fatihah