Memaparkan catatan dengan label fiksi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fiksi. Papar semua catatan

6.5.13

Kegilaan

Kegilaan apakah ini
aku kadang benar benar tidak mahukan
apa-apa lagi selain duduk-duduk
dan menulis tentang engkau
tentang cinta kita
yang entah wujud entah tidak
yang ku tulis-padam-tulis-padam
masuk dalam icon recyle bin.
di atas kertas pun aku tulis-renyuk-tulis dan renyuk lagi
buang ke bakul sampah  di kamar tulis
dan aku sayang membakul sampahkan 
kenangan itu
 
Maka aku rasa aku harus menulisnya
saban pagi
supaya engkau sentiasa ada dan terus hidup

4.5.13

Berkali cuba kuyakini ini cuma platonik

 

Liuk dingin angin malam
terang bulan di musim luruh 
Laman Ogimachi Park menjadi saksi
manis harum daun memerah menguning
semerbak wangi setangi persahabatan 


Ume gugur seakan merayu 
agar kita usah berpisah
Marple luruh menyapu tanah 
mendakap kita 
bersama mimpi di dada malam 
hingga waktu beranjak ke dini hari
 
Berdiri rembulan memantau malam
di celah rimbunan pepohon putus bunga 
musim luruh adalah rindu mengundang
seharum kasih menyusuk jiwa
di kala bulan menyabit bintang di langit


Di gigi malam,  musim luruh bertandang
rindu berpanjangan menenun musim
tidak sekali pun merubah warna malam
ada waktu-waktunya kita seakan terlupa
siapa kita atau apa yang sudah kita ada

3.5.13

Pada hari ku tinggalkan engkau bersama sekaki payung



Sumber: Google.com
Aku turuni tangga apartment.  Berlari-lari anak, meninggalkan payung di tanganmu. Tanpa menoleh. Hujan rintik mulai melebat.  Aku berlari masuk ke dalam teksi.
 
‘Airport, please’ arahku kepada pemandu teksi yang mengangguk dan menekan meter teksi. Hujan mula turun lebat sekali.

Dari cermin belakang teksi, aku melihat rintik hujan jatuh membasahi tanah dan apartment sempit rimas yang banyak memberi makna dan mengajar erti hidup di negeri asing. Aku melihat engkau basah kehujanan. Payung di tanganmu tadi entah ke mana dibawa angin.

 Ada sisa hati yang tertinggal di situ, ada rasa yang melarat di situ, ada cinta yang menghuni di situ. Cuma semua itu bukan untuk aku. Bahkan terlarang untuk aku.

Perjalanan pulang. Destinasi mencari diri dan memaafkan diri baru bermula. Apa hujan ini satu rahmat untuk aku memulakan semuanya baru? 

Aku sendiri tidak tahu. Aku mengenggam erat tangan, meraut ke muka, menyeka titis-titis air yang terpecah daripada empangan kelopak mata.

Teksi meluncur laju, membawa aku yang kebasahan jiwa dalam hujan yang merintik jatuh. 

ps; Menulis itu ada jurang di antara minda & kertas. Aku kembali melatih diri.

2.5.13

Lapan Tahun Empat Bulan Dua Hari & Beberapa Jam Yang Berlalu


Aku tulis ini pada petang yang gerimis. Mendung sedang membayangi langit di luar dan di dalam  Jutaan molekul air sedang membasahi jendela.  Aku tulis tentang titis-titis air dan tentang hati yang enggan tunduk pada kata akal dan iman.  Pada petang yang gerimis ketika sekawan burung hitam menikmati hujan di pagar tempat kerja dan udara ketika itu berbau rumput basah bercampur tar yang baru diturap. Ponteng kerja ketika ini.  Aku tulis tentang engkau dan kisah poket hampir kontang kerana kegilaan membeli buku. 

Aku tulis pada sore yang gerimis dengan air pada tingkap "Semalam sudah terbang, esok belum pasti datang"

Dan di dalam sanubari aku tulis begini,
Kirimkan aku cinta lalu
yang cicipannya masih manis
terasa memekat di sudut hati

Aku tahu ianya sia-sia dan terlarang

Dan aku takut permintaan ini dikabulkan Tuhan
lalu neraka dikirimkan
sebelum sempat aku 
beristigfar.

Dan aku masih akan tulis tentang engkau dan pelbagai kegilaan yang aku miliki.
Selagi novel itu tidak aku siapkan.

Ah! Bohong. Aku akan tulis tentang semua sampai tamat hayat ini.

...and suddenly I become sad for no reason.
No reason at all.

7.1.12

Selamat tahun baru Hiroshi



Hiroshi, rindu hampir pudar
Cinta lupus tarikh
tamat bersama mimpi sedih dan luka

Cinta yang paling diingati
barangkali cinta yang tidak mungkin dimiliki

Engkau sudah 45, dan aku 42.
apa lagi yang kita mimpikan
selain ume gugur dan polos daun
serta saat bertemu dunia kekal

Hiroshi
Selamat tahun baru
Gembira bercampur cemburu
kau temui gadis baru.

15.6.11

Anak-anak kunci yang menyesakkan rasa

Di dalam simpanan Ella, ada bergugus anak kunci. Memegang bergugus anak kunci adalah amanah yang menyesakkan jiwa,

Ella menyumpah-nyumpah kenapa kerja ini yang dipilihnya.


Buat setetika, Ella berjaya disesatkan si iblis durjuna.

Ella terlupa dia menyumpah rezeki Tuhan!

Puncanya, kerana asyik memikirkann timbunan anak kunci dua blok bangunan itu dia tertinggal anak kunci rumah sendiri.

Maka petang itu membawa ke jam delapan, bermalamlah dia dengan pc di pejabat yang haram tiada sambungan internet.

Ella, menyumpah-nyumpah kelupaannya yang semakin menjadi-jadi.

Tetapi hati kecilnya tidak pernah mahu melupakan Hiroshi.

11.6.11

Harus bernoktah


Pagi itu sesak dan bingit. Tren bertukar ganti bergerak dari planet A ke planet B. Tapi Ellie masih tidak beganjak dari tempat duduknya. Tren datang lagi bersilih ganti. Ellie sedang berfikir tren mana bisa dinaiki. Tren yang menuju destinasi yang tidak dapat dipastikan

"Kamu mahu ke mana?" Tanya seorang pemuda di bangku sebelah. Ramah.

"Saya mahu ke planet ajaib; di sana saya mau cari sebilah pisau. Mau memotong dan melampah kenangan" Ellie menjawab. Sambil tersenyum ramah.


"Ok, berapa biji Diazepam kamu telan pagi ini?"

Ellie masih tersenyum. Lebih ramah. Lebih mesra

"Oh! Bukan. Saya tidak segila Dr.House. Saya cuma pura-pura gila. " Tingkah Ellie.

"Ya, berpura-pura gila, histeria dan menulis adalah
escapism" Pemuda asing itu tiba-tiba menyetujui pandangan Ellie.

Semenjak hari itu mereka sering mundar-mandir di stesyen tren. Menunggu tren terakhir ke planet ajaib.

29.7.10

Cinta


Sudah legam rupanya di celah puntungan
kayu-kayu kering berselerakan
menanti jadi debu ditiup bayu
membaja lalu berputik benih baru

kau tahu
aku tahu
setiap hari
kita tak pernah berhenti
berlari
mengejar dan mendodoi
mimpi

25.7.10

Jika kau datang malam ini





Aku sediakan kamu secangkir kopi panas
dan selimut paling tebal
kerana hujan sedang menajamkan belati rintiknya
dan cuba mencantas simpulan kasih kita.

Tanpa Tajuk

Aku bersendirian. Ada tangan jahat cuba menolak aku masuk ke dalam rumah itu. Rumah yang dipenuhi iblis-iblis jantan betina, kadang sesama jantina melakukan kerja celaka. Berzina dan merakam kerja zina untuk tontonan.

Tangan jahat: Masuklah, tengok, tiada orang nampak. Tiada orang tahu.
Diri aku yang baik melawan : Tuhan nampak, malaikat nampak!
Tangan jahat : Nanti kau solat, kau minta ampun. Ini pun ilmu juga tau( Dia tersenyum)
Diri aku yang baik: Tidak, aku takut dosa, nanti malu dengan Tuhan.

Episod pujuk memujuk berakhir dengan kekalahannya.

Sekarang, tika ini dia berada di penjuru laptopku
Menangis teresak-esak
Meratapi kekalahanya.

Tika aku klik, Al Qur'an Explorer, tangan jahat melolong-lolong berlari keluar dari rumahku.
Wajahnya legam terbakar.

Dia menjerit nyaring "Aku takkan berputus asa!"

Ah! Terhakis


Entah kenapa
tiada upaya menghasilkan apa-apa
barangkali benar
kerja meminitkan surat-surat
dan mengira itu ini
menjadikan kalam indah rentung
runtuh, tenggelam dan hilang
di celahan timbunan fail
tersepit di celahan mesin-mesin fotokopi
tersorok di sebalik askara-askara papan kekunci

PS: Ninnie, maafkan aku. Barangkali aku sudah hampir kalah dalam 'menghidupkan' watakmu. Gagal menyambung cerita cintamu.

Kisah cinta kita
Dalam fiksi!

18.7.10

Tika hujan


Hujan turun
langit bertranfomasi
alangkah indah jika
ada kamu
di sisi

Maaf, mutakir ini
aku tutup semua
pintu-pintu mimpi
yang menghubungi kita
aku bimbang
ada bara api
sedang membaham kita

23.6.10

Suara-suara berhentilah bicara kerana aku mahu lena


Tiada suara yang menghentak gegendang telinga.
Selain suara-suara hati sendiri
yang mahu aku menangis
yang menyuruh aku terus tabah
yang menyuruh aku membakar dunia
yang menyuarakan dendam kesumat
yang berbisik agar aku berhenti mencatat
yang berteriak agar ku suarakan apa berselirat

Ah!
Kacau sekali. Alangkah bagus, jika kau ada di sisi ketika ini. Aku hanya akan mendengar bisik suaramu. Berbicara yang positif dan muluk-muluk untukku.

Hiroshi, di mana engkau?

8.6.10

Perempuan yang bernama Ella


Ella masih belum pulang dari pejabat. Di hadapannya, ada sebuah komputer usang dan sambungan internetnya macam haram. Di kiri kanan ada longgokan fail yang minta diminitkan. Masa kerjanya, sudah tamat.

Di dalam beg tangan ada bergugus anak kunci. Kunci pejabat, kunci kediaman lama dan kunci rumah yang baru disewa. Dengar khabar, ada lagi pelbagai gugus anak kunci yang bakal menanti.

Ella, seperti selalu-selalu. Cuak dengan gugus-gugus anak kunci dan pintu-pintu baru.

Ella rasa macam mahu bermalam di pejabat. Tapi, dia bimbang terbangun awal pagi dan berada di asrama yang tiada berpenghuni itu.

Tadi, dia diajak pengetua mendekati kawasan asrama. Demi tugas, Ella akur.

Dan.

Ella seperti Ella yang selalu-selalu. Cuak dengan gugus-gugus anak kunci dan pintu-pintu baru!

13.4.10

Hanami sudah berakhir untuk kita


"Kau belum tidur?," tanya Hiroshi via YM
"Apa kau buat?" dia kepingin tahu.
" Aku menulis," jawab aku via YM.
"Kau menulis, tentang apa, untuk siapa?"dia mahu tahu lanjut.
"Puisi untukmu....," aku kata
"Bacakan untukku..," ujarnya
"Gila kau, kau bukan dengar suaraku," jawabku seraya meletakkan icon budak bulat warna kuning sedang ketawa tergolek-golek.
"Percayalah, aku bisa mendengar suaramu di mana-mana...,"jawab Hiroshi.

*Menulis puisi cinta untukmu adalah satu pembaziran Hiroshi. Tapi aku tulis jua kerana ku tahu; engkau selalu mendengar suaraku di mana-mana dan aku mendengar suaramu ke mana-mana aku melangkah*

"Hello, kau masih di talian..,"tanya Hiroshi.
" Apa judul puisimu?"
"Hanami sudah berkubur..," aku kata.
"Kejam!" Horoshi sudah hilang di talian.

*Ya! Hanami susah berkubur.*

Hanami sudah berkubur sore tadi
kelopak bunga gugur beselerak semalam dan pagi ini

daun kering kekuningan seakan mahu mati
ranting polos sudah,
tiada lagi kuntum mewangi
untuk kau dan diri ini
benih baru tidak akan bersemi lagi
hanami takkan kembali.
selamat pagi Hiroshi!

10.4.10

Di celahan pohon ume


Kehadapan kekasih gelap imiginasiku Hiroshi,

Aku sekadar mampu menulis seperenggan untuk Bab 2 setelah sepanjang malam berjaga.
Membiarkan kekasih halalku tidur kedinginan bersama kucing kesayangan kami.

Aku sibuk membayangkan engkau dan,
pohon ume yang sudah putus bunganya.

Pedih sekali cinta ini Hiroshi!
Lukanya bernanah sampai ke tulang hitam.

9.4.10

Di bawah pohon sakura


Hiroshi bingkas bangun. Mengeluarkan sekotak Mild 7 dan pemetik api.

Aku bertanya penuh rasa ingin tahu. "Mengapa merokok? Bukankah kau selalu berfikiran positif. Hanya memilih yang terbaik sahaja dalam hidupmu?"

"Aku memilih yang terbaiklah ni...merokok lebih baik dari jatuh cinta dengan pasangan orang lain." Ujar Hiroshi serius.

Dan aku terkesima.

Perlahan aku melangkah pergi meninggalkan dia. Mungkin buat selamanya.

7.4.10

Anak kunci



Kadang Ella terasa hidupnya semakin rumit. Seperti memegang segugus anak kunci. Dalam keadaan gawat dan sesak, dia kadang panik.

Kekasih juga, kadang seperti anak kunci yang sedang berada ditangannya sekarang. Kadang cukup menjengkelkan dan menyusahkan dia.

Kata bijak pandai, sangat sukar berbuat baik dengan orang yang paling akrab dan disayangi.
Ella jengkel, kebaikannya selalu disalah tafsir.

29.3.10

Lullaby: Catatan 29 Mac 2010



Jam 10.00am. Ella terpisat-pisat bangun sesudah kembali tertidur jam 07.00am tadi. Dia merasa letih bercampur sebal. Diselak selimut, dia bangun dalam keadaan seribu tahun mengembara di Sahara. Ella mengesat-ngesat matanya yang degil mahu celik. Dikesat bibirnya. Liur basi bertempekan sana sini.


Ella pandang cermin solek. Semakin buruk rupanya. Kecantikan pudar sudah. Musim bunga berlalu dan kehidupan perlu diteruskan walau apa berlaku. Ella tidak bingkas lagi seperti dulu. Tiba-tiba dia rindu mengejar komuter UKM - KL C dan elarti KL C - Asia Jaya. Dia rindu terkejar-kejar selapas kerja ke Sentul dan KLPAC. Dia rindu berjalan-jalan dari Stesyen Awaji dan sesat-sesat sebelum sampai ke studio latihan Kim san atau apartmen Kawakita san. Dia rindu kepada anak-anak ayam dan sawah padi di tanah kelahirannya.

Ella cuba bangun. Perlahan-lahan. Rumahnya seakan diselebungi kabus tebal. Kabus tebal itu bagaimanpun semakin menipis. Tiba-tiba sahaja bertentangan dengan kamar tidurnya, ada lagi sebuah kamar tidur yang serupa. Ella rasa macam bermimpi. Mana ada kamar tidur di situ. Yang ada hanya hanya ruang dapur untuk memasak. Sejak mutakhir ini, fungsinya semakin hilang.

Dalam kabus tebal yang semakin menipis, kelihatan seorang perempuan tua yang baru bangun tidur seperti dia. Kamar itu dan susun atur perabotnya saling tak tumpah seperti yang terdapat di di dalam kamar tidurnya. Cadar dan selimut juga berwarna serupa. Ella cuba hampiri kamar tersebut. Malangnya, seakan ada cermin kaca lutsinar menghalang pergerakannya.

Ella kembali ke kamarnya. Jam di kamar tidurnya, tertera 10.20am dan kalender meja dengan hiasan gambar kucing comel bertarikh 29 hb. March 2010. Dia kembali mengintai kamar di hadapannya. Kalender dengan hiasan gambar sakura bertarikh sama tapi tahun berbeza; 29 hb. 2030. Jam dinding tepat 6.00am. Perempuan tua itu kelihatan tersenyum melhat lelaki tua yang tidur kaku dielimuti selimut tebal bercorak berbeza tapi masih sama warna dengan selimut tebal Ella.

Dari sebuah almari usang, perempuan tua itu mengeluarkan unifom kerja lelakinya, stokin dan lain-lain keperluan dengan penuh kasih sayang. Dikejutkan lelaki tua yang sedang tidur kaku. Ella cuba memberitahu perempuan tua itu yang pasangannya sudah tiada. Dia menjerit sekuat hati, malangnya suaranya tidak didengari sama sekali. Ella yakin lelaki tua itu sudah mati. Ella yakin dia tidak berhalusinasi.


Perempuan tua itu masih lagi mengejutkan pasangannya yang terbujur kaku. Wajah tua itu tenang dan kelihatan aman. Mungkin kedamaian terpamer di wajahnya adalah gambaran dunia sebelah sana yang lebih indah. Terbebas dari segala kekejaman dunia sebelah sini yang sesak lagi menyiksakan. Buat seketika, perempuan tua itu mengucup dahi dan tangan pasangannya yang kaku. Ella seakan terasa kedinginan itu berada di bawah tahap beku darjah C. Perempuan tua itu mengesat mata tuanya yang berkaca-kaca. Kemudian kembali berbaring sambil mendakap pasangannya yang kaku. Masih dengan rasa cinta yang mendalam.

Ella hiba! Hiba yang teramat hiba. Airmatanya mengalir tanpa sedar. Seluruh jiwanya luluh dan jatuh berkeping-keping.

* * *
Zasssssss! Selimutnya ditarik.

"Dah..dah..bangun bangun, pergi sarapan. Jangan nak bersedih-sedih tak tentu hala lagi. Bangun,mandi dan pergi tulis apa-apa" Leter lelakinya yang entah bila pulang.

"Kesian perempuan tua tu bang, suaminya mati.."
"Perempuan tua mana ni?"
Tu kat bilik...."
Belum sempat ayat itu Ella habiskan, si suami sudah keluar. Terdengar daun pintu ditutup perlahan.

Ps: Enri ini digarap setelah menonton filem pendek yang sungguh 'touching'













25.3.10

Hujan dan dia yang pergi



Hujan dan kita cuma perlu dua cangkir kopi panas untuk mabuk-mabuk cinta bersama.
Hujan dan kita sekadar perlukan sekaki payung kertas untuk bersiar-siar bersama.

Atau kita boleh meredah rintiknya dan kebasahan bersama.

Esok, kita akan bersama mencari paracetamol, antibiotik dan priton dari farmasi atau premis tujuh sebelas
Hujan, dan kita boleh pilih selimut tebal untuk baring-baring di bawahnya; dan kucing kesayangan kita menumpang di antaranya.



Tapi!


Kau pilih untuk merewang entah ke mana-mana dan meninggalkan aku dengan sebuah laptop yang maha bisu