24.6.10

Dia dan antara ribuan kisah-kisah cinta


Ini sebuah kisah cinta tidak berkepentingan.

Dia dinikahi oleh lelaki berusia kerana faktor kemiskinan. Konon mengelak diculik dan menjadi gundik Jepun di zaman perang. Zaman itu, maruah seeorang perempuan adalah emas. Lalu, dia menghabiskan zaman mudanya dengan menggauli lelaki tua sebaya bapa dan menjaga tujuh anak-anak tiri sebaya diri. Malah anak tiri paling sulong, lebih tua darinya dan panjang akal.

Dia, terus mencintai suami tuanya tanpa sebarang kepentingan. Lurus dan tulus. Saat suami tuanya yang kaya itu tenat, anak tiri yang panjang akal itu menghantar dia pulang ke pangkuan keluarga. Konon, mereka mampu menjaga si ayah yang tenat. Akibatnya, dia tidak dapat menuntut apa-apa habuan dunia sekali pun.

Dia yang polos, lurus dan tulus.
Kisah yang sama berulang hingga si suami ke empat. Akhirnya dia, menumpang teduh bersama kami yang juga miskin di waktu itu. Menumpang ehsan abah(allahyarham); hanya seorang ipar yang juga kais pagi makan pagi.

Dan, abah mengambil ikhtibar dari kisahnya. Menolak semua pinangan lelaki-lelaki tua berkepentingan yang mahu menikahi saya.

Syukur, abah saya seorang lelaki yang panjang akal. Dan, saya bukan perempuan polos, lurus dan tulus.

Dia, masih lagi perempuan yang polos, tulus dan lurus. Tinggal di rumah kecil bersebelahan rumah emak yang juga kecil kerana bertambahnya ahli keluarga.

Dia, masih lagi perempuan yang polos,tulus dan lurus. Sedang menghabiskan sisa usia, tanpa zuriat dan harta dunia.

Melihat rentetan hidupnya, saya terkenang masa depan saya yang mungkin lebih kurang serupa. Tanpa zuriat.

Namun, saya bukan perempuan polos, tulus dan lurus sepertinya.

Tiba-tiba aku terasa 'kehilangan'


Kadang timbul rasa sesal, memilih untuk kembali berkerja dalam usia begini. Tapi aku terpaksa, lantaran desakan kewangan yang menghimpit-himpit, Jika hendak diharapkan duit hasil kerja-kerja menulis, faham-faham sahajalah. Malas cerita panjang-panjang, Lainlah, kalau novel kau meletup macam Vovin.

Buku puisi hari itu pun, masih bersepah di dalam almari tidak terjual.

Tidak menulis, membuatkan aku rasa 'hilang'.

Jadi aku, menulis di blog sahaja.

23.6.10

Suara-suara berhentilah bicara kerana aku mahu lena


Tiada suara yang menghentak gegendang telinga.
Selain suara-suara hati sendiri
yang mahu aku menangis
yang menyuruh aku terus tabah
yang menyuruh aku membakar dunia
yang menyuarakan dendam kesumat
yang berbisik agar aku berhenti mencatat
yang berteriak agar ku suarakan apa berselirat

Ah!
Kacau sekali. Alangkah bagus, jika kau ada di sisi ketika ini. Aku hanya akan mendengar bisik suaramu. Berbicara yang positif dan muluk-muluk untukku.

Hiroshi, di mana engkau?

Kesunyian


Malam ini kau mampir
dalam wajah

paling ngeri

Untuk
aku mengerti

bagaimana di sana

tanpa
pahala
amal
jariah

Mungkin sekadar mengerti

kemudian ku lupa kembali
wajah ngerimu

terus leka berdansa

mendakap tubuh dunia


8.24am
Labuhan Dagang

22.6.10

Entri re-re-recycle

Awaji station Pictures, Images and Photos

Menghadam entri djk di sini, membuatkan aku kembali merindui Osaka. Dalam proses melupuskan kesedihan, aku pindahkan semula sajak ini ke mari. Seratus-peratus kebarangkalian, aku kira sajak ini pun sudah masuk recycle bin editor media perdana.


/1/
keretapi laju pantas meluncur di antara bukit-bukit hitam
dan rimba batu Osaka tidak pernah kelam
dingin angin menujah melewati jendela
malam itu.

/2/
harapan tertayang ke perasaan
dalam lena tak tidur
engkau di sisi
dan kita berbicara seolah sudah berabad mengenali
kadang dalam diam
wajah hatimu, cuba kuceroboh pandang
sebelum keretapi berlabuh di destinasi.

/3/
Kelopak-kelopak rindu belum terlerai
di gerabak yang berlari
mengheret manis kenangan yang masih tersisa
cenderahati pemberianmu masih tersimpan
tanda pertemuan dengan ukhwah persaudaraan

/4/
sebelum tiba di stesen destinasi
keretapi meneriakkan siren berulang kali
terhimpun pilu, juga persoalan di keliling hati
meninggalkan engkau yang sehari ku kenali
mungkin takkan ketemu lagi.

1.31am
3 September 2009

20.6.10

Gah

1.

Gah!
Pelbagai mercu tanda berdiri gagah
mata si marhein tersilau menyorot kerdip lampu
dalam hati galau, berdendang pilu
Oh!

2.

Aku duduk-duduk
memerhati salah satu tiang lampu
harganya barangkali
menjangkau sepurnama gajiku.

Putrajaya
Jun 19,2010

17.6.10

Sedang melupuskan kesedihan





Menanti hujan teduh dan menunggu kesedihan lupus
Namun kesedihan umpama hujan
datang tanpa diduga
bila tiba musimnya

Coco, engkau sudah aman bersemadi di perut bumi
Selamat kembali ke syurga!

Terima kasih, untuk dua musim ini. Mencipta ceria untuk kami berdua.

Coco (2008 -2010)

12.6.10

Nak hidup!

Apa ke jadah hari aku nak bercuti disuruh ke ofis. Katanya ada kontraktor sampai. Kata Wak, kontraktor RM2,gitulah perangainya. Alang-alang sudah di ofis, aku tulis blog. Dasar kontrstor cap ayam, hari orang bercuti barulah terhegeh-hegah nak datang.

Nak mengumpat lebih-lebih pun bangsa aku juga

Alahai!

8.6.10

Perempuan yang bernama Ella


Ella masih belum pulang dari pejabat. Di hadapannya, ada sebuah komputer usang dan sambungan internetnya macam haram. Di kiri kanan ada longgokan fail yang minta diminitkan. Masa kerjanya, sudah tamat.

Di dalam beg tangan ada bergugus anak kunci. Kunci pejabat, kunci kediaman lama dan kunci rumah yang baru disewa. Dengar khabar, ada lagi pelbagai gugus anak kunci yang bakal menanti.

Ella, seperti selalu-selalu. Cuak dengan gugus-gugus anak kunci dan pintu-pintu baru.

Ella rasa macam mahu bermalam di pejabat. Tapi, dia bimbang terbangun awal pagi dan berada di asrama yang tiada berpenghuni itu.

Tadi, dia diajak pengetua mendekati kawasan asrama. Demi tugas, Ella akur.

Dan.

Ella seperti Ella yang selalu-selalu. Cuak dengan gugus-gugus anak kunci dan pintu-pintu baru!

3.6.10

Sedikit catatan dari hati sunyi

Berkerja di sini, aku sembunyi-sembunyi menelan ubat. Tiada lagi keberanian mengubah perkripsi doktor. Tiada lagi keberanian menelan Diazepam sesuka hati. Jika tidak aku pasti tidur mati atau meracau benda yang bukan-bukan.

Alhamdulillah!

Kesakitan semakin hilang. Kadang rasa kejang tangan masih ada, tetapi agak berkurangan.

Entah apa hikmah Tuhan, letakkan aku di tempat tersorok begini. Barangkali untuk lebih mengingatiNya dan tujuan ketibaan aku ke alam bernama dunia.

Atau mengingati hari-hari kematian yang semakin hampir. Bersendirian di alam yang lagi satu.

Kadang bosan tanpa internet dan Astro. Kadang terjaga ketakutan di malam dingin.
Aku cuba sedayanya membiasakan diri dengan segala situasi dan kemungkinan.

Cuma satu, aku tidak dapat menulis seperti dulu.

Dan kucing berkaki tiga tak bernama ku temui mati kejung, di dalam hujan sesudah dua minggu dia kutinggalkan. Kematiannya, tidak memberi impak kepada sesiapa kecuali aku. Barangkali kematiannya lebih mengembirakan jiran sebelah (di kediaman lama); yang sering menyepak tubuh kerdilnya dengan kaki dan otaknya diletakkan di kepala lututnya.

Kucing berkaki tiga yang tidak diberi nama,
Engkau telah selamat menemui Tuhan dan sedang berbahagia.
Aku entah bagaimana.