21.8.11

Azmi dan kenangan ketika anak-anak

Mereka selalu bercerita, aku budak cerdik. Tetapi Azmi tidak pandai. Di dalam kelas, Azmi selalu menyorok di bawah meja bagi mengelak soalan guru. Cikgu-cikgu kadang menggunakan bahasa tidak sepatutnya diucapkan kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun dan disesarkan bersama kerbau lembu dan lumpur sawah padi.

Sewaktu aku mengenal dan fasih membaca seawal tujuh tahun, dia tidak pernah tahu apa-apa kecuali mengeja nama sendiri. Cikgu-cikgu di zaman itu, barangakali belum dipekenalkan dengan Teori Kepelbagaian Kecerdikan Gadner.


Justeru itu, Azmi selalu digelar bodoh, bebal dan pemalas. Di waktu senggang, Azmi akan datang ke rumah kami. Bermain pondok-pondok dengan aku dan adik. Aku terima dia tanpa prajudis. Kanak-kanak tidak tahu menilai. Kalau dia bodoh sekali pun, dialah kawan baik yang selalu ada untuk membela dan menjaga aku dari dibuli kawan-kawan yang terlebih 'bijak'.


Seperkara yang aku kagumi tentang Azmi adalah, ketelitian dan bakatnya dalam kerja-kerja pertukangan. Dia mewarisi kepakaran datuknya. Aku suka melihat Azmi meracik buluh untuk dijadikan sangkar burung.


Walau pun begitu, aku kurang gemar tabiat mereka sekeluarga yang gemar mendenak burung. Menyangkar burung. Azmi juga mewarisi hobi buruk itu.


Pesan abah" Haiwan yang mahu bebas, jangan dikurung. Jangan disiksa dan dilastik".


Keluarga kami sering berkonflik. Namun, itu tidak pernah menghalang dia mengunjungi dan makan-makan di rumahku.


Ya! Keluarga kami miskin, tapi entah kenapa dia masih suka rumah aku dan masakan mak.


"Sedap la sambal tumis Tok Su"katanya sambil tersengih sesudah perut kekenyangan. Emak dan arwah datuknya bersaudara sepupu. Biarpun kami sebaya, dia berpangkat anak saudara kepadaku,


Emak aku, memasak dengan kasih sayang. Mesti enak. Aku yakin mengatakan masakan yang dimasak dengan kasih sayang adalah juadah paling enak disantap meski pun juadahnnya biasa-biasa sahaja. Ubi kayu rebus cicah sambal, teh susu air tangan mak memang kesukaan kami.


Aku tidak mewarisi kepakaran emak. Tidak tahu dan tidak gemar memasak. Adik yang mewarisi kepakaran emak dan kebaikan hati abah. Pemaaf!


Aku, perempuan teruk. Kadang hidup dalam duka kerana cerita lama yang melukakan.


Azmi, kini sesorang tukang kayu yang hebat. Sudah berada. Tidak pernah lagi menjejak kaki ke rumah kecil kami. Aku pun sama, tidak pulang sewaku kematian datuknya beberapa bulan yang lalu.


Rasanya, kami sudah lama tidak bertemu dan bercerita seperti dahulu.


Aku sudah lupa bagaimana rupanya! Tetapi kebaikan yang ada di dalam dirinya masih tersimpan kemas di dalam ingatan.

Ada waktu, aku seperti ingin kembali ke zaman anak-anak kami. Mandi sungai, bermain layang-layang di waktu kemarau panjang di tengah sawah kontang. Berebut ubi rebus, menangguk ikan dan udamg sungai.

Udang sungai spesis haiwan kecil yang suduh pupus kerana perubahan di dalam teknologi pertanian. Sama seperti pupusnya ikan keli dan sepat di sawah separa kontang kala musim menuai.


29.6.11

Hujan sepanjang hari


Hujan pagi
Kirimkan aku cinta
cinta lama
larut di bawah sepatu baru

Hujan tengah hari
hulurkan rindu
yang tertinggal sebentar tadi
di tengah aspal basah

Hujan petang
carikan aku jalan pulang
sesat sebentar dalam rintikmu
dingin, pinjamkan aku kehangatan
matahari esok pagi

Hujan malam
jika kau datang
pimpin jejariku yang basah
kerana terlalu kerap
mengesat airmata

1.59 pm

18.6.11

Hipokrit

Pagi itu cerah bersinar kerana aku tahu matahari sedang meraikan pertemuan kami. Tapi aku lihat di mata Ella ada kegusaran dan ketidakpastian.

"Kamu tahu..."ucapnya terhenti sambil meneguk secawan lagi kopi panas yang dipesan.

Kemudian menyambung "Menulis di sebelah sana,aku tidak boleh lagi menjadi aku" Ella memberitahu aku tiba-tiba.

"Kenapa?" Bukankah di sana juga ada engkau?Maksudku sebahagian dari dirimu.." aku membalas.

"Aku didakwa hipokrit Hiroshi. Dan aku sedang cuba menerima tuduhan itu seadanya. Cuba berlapang dada."

"Jadi kau mahu mengalah dengan tuduhan si pendek akal. Apa yang dia tahu tentang engkau?"

Ella diam. Tersenyum kelat sambil menghabiskan sisa kopi yang pahit.


Pagi itu cerah bersinar kerana aku tahu matahari sedang meraikan pertemuan kami. Tapi aku lihat di mata Ella ada kegusaran dan ketidakpastian.

15.6.11

Anak-anak kunci yang menyesakkan rasa

Di dalam simpanan Ella, ada bergugus anak kunci. Memegang bergugus anak kunci adalah amanah yang menyesakkan jiwa,

Ella menyumpah-nyumpah kenapa kerja ini yang dipilihnya.


Buat setetika, Ella berjaya disesatkan si iblis durjuna.

Ella terlupa dia menyumpah rezeki Tuhan!

Puncanya, kerana asyik memikirkann timbunan anak kunci dua blok bangunan itu dia tertinggal anak kunci rumah sendiri.

Maka petang itu membawa ke jam delapan, bermalamlah dia dengan pc di pejabat yang haram tiada sambungan internet.

Ella, menyumpah-nyumpah kelupaannya yang semakin menjadi-jadi.

Tetapi hati kecilnya tidak pernah mahu melupakan Hiroshi.

11.6.11

Harus bernoktah


Pagi itu sesak dan bingit. Tren bertukar ganti bergerak dari planet A ke planet B. Tapi Ellie masih tidak beganjak dari tempat duduknya. Tren datang lagi bersilih ganti. Ellie sedang berfikir tren mana bisa dinaiki. Tren yang menuju destinasi yang tidak dapat dipastikan

"Kamu mahu ke mana?" Tanya seorang pemuda di bangku sebelah. Ramah.

"Saya mahu ke planet ajaib; di sana saya mau cari sebilah pisau. Mau memotong dan melampah kenangan" Ellie menjawab. Sambil tersenyum ramah.


"Ok, berapa biji Diazepam kamu telan pagi ini?"

Ellie masih tersenyum. Lebih ramah. Lebih mesra

"Oh! Bukan. Saya tidak segila Dr.House. Saya cuma pura-pura gila. " Tingkah Ellie.

"Ya, berpura-pura gila, histeria dan menulis adalah
escapism" Pemuda asing itu tiba-tiba menyetujui pandangan Ellie.

Semenjak hari itu mereka sering mundar-mandir di stesyen tren. Menunggu tren terakhir ke planet ajaib.

24.4.11

Lagu untuk Khadijah



Aku terlalu menyayangimu
kadang mendatangkan cemburu
dan curiga
di hati dia

Aku percaya, engkau juga merasa
kerana Tuhan mencipta
setiap cinta
dalam arca berbeza

17.4.11

Meraikan hari Isnin yang biru

Esok, aku pakai baju kurung kemas bertudung dengan tag nama.
Sungguh skema!

Aku berkerja dengan jujur dan tekun. Sedikit kesilapan akan mendajalkan aku.

Lantas aku telan perlahan kebenaran,

17.3.11

Tolong ingatkan aku, Hiroshi



Sudah sekian lama tidak menulis apa-apa untuk kamu. Moga kamu baik-baik saja sebalik musibah yang melanda tanah kelahiranmu.

Hiroshi,
Semalam usiaku genap 41 tahun. Di dalam diri kadang, aku seolah gadis remaja empat belas.
Terutama ketika mengenangkan kamu dan bagaimana kau mengheret tanganku mengelilingi pekan kecil di tengah kesibukan bandaraya Osaka 4 musim lalu.

Aku berani menulis tentangnya kerana ku yakini kau tidak punya maksud apa-apa selain dari menjaga keselamatanku.

Dan maaf, aku menarik tanganku; bukan kerana tidak mempercayai kamu. Aku perempuan Muslim konsevatif. Lantaklah jika ada yang menggelarkkan aku kolot.

Ya! aku memang kolot.
Kekolotan itu menyebabkan aku hanya berani berfiksi tentang engkau.
Kekolotan itu menyebabkan surat e engkau tidak pernah ku balas.

Aku sedar, aku kepunyaan orang.
Aku tahu yang hak dan yang batil
Sebab itu, aku selalunya hanya berfiksi tentang kamu.

Hari lahir yang ke 41 ini Hiroshi ku raikan sendiri. Bersama teman-teman maya yang mengirimkan ucapan via Facebook dan sms.

Dia? Dia yang memiliki aku menyayangi aku di dalam caranya yang tersendiri. Hingga aku terasa tidak pernah disayangi.

Dia yang lurus. Dia yang bukan seperti kita. Dia yang buta seni dan sastera.

Surat E engakau Hiroshi, sudah bertahun tidak kubalas.
Aku takut bermain api dan terbakar di neraka.

Sebuah kisah cinta, di dalam pertemuan kita adalah pembaziran yang ketara.

Kau mengerti?

16.2.11

Usah


Hati usah gusar
usah menangis
kerana keesokan hari
matahari tetap berdiri
jubah malam nan hitam tersingkap

Hati usah gusar
usah tawar
usah pijar
esok pagi akan banggun
tersenyum seperti selalu
dan dunia belum kiamat