22.3.10

Di kala Jill kehilangan kucing kesayangannya,Coco


Jam delapan malam tadi air dari langit tumpah mencurah-curah. Jack dan Jill memberhentikan kenderaan mereka beroda empat tetapi tetap dipanggil motosikal; meneduhkan diri masing-masing di sebuah kedai mamak di tepian bandar pintar bernama Putrajaya.

Jill sedang kedinginan dan bersedih. Dia tiada selera mahu memesan makanan(sebenarnya dia tidak sukakan masakan mamak, kecuali segelas teh tarik kaw-kaw). Jack seperti selalu-selalu; lelaki separa mesin. Lansung dia tidak perasan kesedihan Jill. Tanpa berlengah, terus dia memesan nasi + kari ayam untuk mengisi perutnya yang semakin ke hadapan. Sejajar dengan pertambahan usia mereka berdua.

"Makan kat kedai mamak murah" Kata Jack.
"Ada diskaun lagi.."Sambungnya. Tidaklah pernah dia perasan cebikan bibir Jill setiap kali dia berkata begitu.

Sambil menghirup teh tarik gelas tak begitu besar, mata Jill tertancap pada sisa makanan yang tertumpah di lantai. Kelihatan seekor burung kecil basah bulunya sedang mengheret sisa makanan tersebut, lalu dibawa terbang entah ke mana. Mungkin untuk makan malam bagi anak-anak kecilnya.

Hujan semakin lebat dan Jill berdoa agar burung kecil itu selamat tiba walau ke mana destinasinya. Mata Jill berkaca-kaca. Jack berhenti menyuap nasi dan kari ayamnya sambil memandang ke wajah sugul Jill

"Kenapa ni? Jangan bimbang, Tuhan merahmati burung kecil itu sebagaimana Dia merahmati kita"

Oh! Rupanya Jack bukanlah lelaki yang teruk sangat.
Jill kembali tersenyum sambil menggenggam tangan kekasihnya.

Tiada ulasan: