29.3.10

Lullaby: Catatan 29 Mac 2010



Jam 10.00am. Ella terpisat-pisat bangun sesudah kembali tertidur jam 07.00am tadi. Dia merasa letih bercampur sebal. Diselak selimut, dia bangun dalam keadaan seribu tahun mengembara di Sahara. Ella mengesat-ngesat matanya yang degil mahu celik. Dikesat bibirnya. Liur basi bertempekan sana sini.


Ella pandang cermin solek. Semakin buruk rupanya. Kecantikan pudar sudah. Musim bunga berlalu dan kehidupan perlu diteruskan walau apa berlaku. Ella tidak bingkas lagi seperti dulu. Tiba-tiba dia rindu mengejar komuter UKM - KL C dan elarti KL C - Asia Jaya. Dia rindu terkejar-kejar selapas kerja ke Sentul dan KLPAC. Dia rindu berjalan-jalan dari Stesyen Awaji dan sesat-sesat sebelum sampai ke studio latihan Kim san atau apartmen Kawakita san. Dia rindu kepada anak-anak ayam dan sawah padi di tanah kelahirannya.

Ella cuba bangun. Perlahan-lahan. Rumahnya seakan diselebungi kabus tebal. Kabus tebal itu bagaimanpun semakin menipis. Tiba-tiba sahaja bertentangan dengan kamar tidurnya, ada lagi sebuah kamar tidur yang serupa. Ella rasa macam bermimpi. Mana ada kamar tidur di situ. Yang ada hanya hanya ruang dapur untuk memasak. Sejak mutakhir ini, fungsinya semakin hilang.

Dalam kabus tebal yang semakin menipis, kelihatan seorang perempuan tua yang baru bangun tidur seperti dia. Kamar itu dan susun atur perabotnya saling tak tumpah seperti yang terdapat di di dalam kamar tidurnya. Cadar dan selimut juga berwarna serupa. Ella cuba hampiri kamar tersebut. Malangnya, seakan ada cermin kaca lutsinar menghalang pergerakannya.

Ella kembali ke kamarnya. Jam di kamar tidurnya, tertera 10.20am dan kalender meja dengan hiasan gambar kucing comel bertarikh 29 hb. March 2010. Dia kembali mengintai kamar di hadapannya. Kalender dengan hiasan gambar sakura bertarikh sama tapi tahun berbeza; 29 hb. 2030. Jam dinding tepat 6.00am. Perempuan tua itu kelihatan tersenyum melhat lelaki tua yang tidur kaku dielimuti selimut tebal bercorak berbeza tapi masih sama warna dengan selimut tebal Ella.

Dari sebuah almari usang, perempuan tua itu mengeluarkan unifom kerja lelakinya, stokin dan lain-lain keperluan dengan penuh kasih sayang. Dikejutkan lelaki tua yang sedang tidur kaku. Ella cuba memberitahu perempuan tua itu yang pasangannya sudah tiada. Dia menjerit sekuat hati, malangnya suaranya tidak didengari sama sekali. Ella yakin lelaki tua itu sudah mati. Ella yakin dia tidak berhalusinasi.


Perempuan tua itu masih lagi mengejutkan pasangannya yang terbujur kaku. Wajah tua itu tenang dan kelihatan aman. Mungkin kedamaian terpamer di wajahnya adalah gambaran dunia sebelah sana yang lebih indah. Terbebas dari segala kekejaman dunia sebelah sini yang sesak lagi menyiksakan. Buat seketika, perempuan tua itu mengucup dahi dan tangan pasangannya yang kaku. Ella seakan terasa kedinginan itu berada di bawah tahap beku darjah C. Perempuan tua itu mengesat mata tuanya yang berkaca-kaca. Kemudian kembali berbaring sambil mendakap pasangannya yang kaku. Masih dengan rasa cinta yang mendalam.

Ella hiba! Hiba yang teramat hiba. Airmatanya mengalir tanpa sedar. Seluruh jiwanya luluh dan jatuh berkeping-keping.

* * *
Zasssssss! Selimutnya ditarik.

"Dah..dah..bangun bangun, pergi sarapan. Jangan nak bersedih-sedih tak tentu hala lagi. Bangun,mandi dan pergi tulis apa-apa" Leter lelakinya yang entah bila pulang.

"Kesian perempuan tua tu bang, suaminya mati.."
"Perempuan tua mana ni?"
Tu kat bilik...."
Belum sempat ayat itu Ella habiskan, si suami sudah keluar. Terdengar daun pintu ditutup perlahan.

Ps: Enri ini digarap setelah menonton filem pendek yang sungguh 'touching'













27.3.10

Lagukan 'Winter Song' untuk aku



Aku cuma boleh berkisah di sini. Tentang keadaan sebenar penyakit aku. Penyakit saraf aku, sudah semakin teruk. Aku tahu, doktor bukan Tuhan. Tapi ramalan mereka selalunya tepat.

Bulan ini, sudah banyak pinggan termasuk mug-mug kesayangan yang aku pecahkan tanpa sengaja. Semua gara-gara 'uncontrolled movement' aku yang semakin menjadi-jadi.

Satu tugasan universiti telah siap dan dihantar.
Satu lagi aku tak sempat buat lansung.
Satu lagi dalam proses. Date line lusa.
Aku tangguh semua peperiksaan untuk semester ini.
Aku tangguh pengajian untuk semester depan.
Diploma itu bukan lagi menjadi keutamaan.

Aku cuma mahu menulis dan melakukan perkara yang tiada peluang aku lakukan di waktu muda remaja.

Itu saja.
Duhai diri,bertahanlah!
Kerana aku mahu menulis lagi.
Mungkin surat-surat cinta untukmu, Hiroshi.

26.3.10

Inilah aku, ketika aku menjadi aku.


Aku rasalah kan...aku nak tukar tajuk dan tagline blog ni? Tulisan aku kat blog ni, macam mana? Tetap ada iras-iras blog lagi satu tu.


Ya, aku boleh tukar identiti, tapi tak boleh tukar siapa aku. Itu hakikat.

Kenapa blog sana ramai follower? Kadang aku tertanya benarkah mereka 'membaca' atau just click as follower? Dah lama aku tak update, ada lagi yang klik sebagai follower. Lantaklah weh!


Pelik! Tulisan aku bukan jenis boleh gelak2 sampai terburai usus pun.

25.3.10

Hujan dan dia yang pergi



Hujan dan kita cuma perlu dua cangkir kopi panas untuk mabuk-mabuk cinta bersama.
Hujan dan kita sekadar perlukan sekaki payung kertas untuk bersiar-siar bersama.

Atau kita boleh meredah rintiknya dan kebasahan bersama.

Esok, kita akan bersama mencari paracetamol, antibiotik dan priton dari farmasi atau premis tujuh sebelas
Hujan, dan kita boleh pilih selimut tebal untuk baring-baring di bawahnya; dan kucing kesayangan kita menumpang di antaranya.



Tapi!


Kau pilih untuk merewang entah ke mana-mana dan meninggalkan aku dengan sebuah laptop yang maha bisu



Pergi dan lupakan


"Aku yakin tiada yang terkurang enaknya di atas muka bumi Tuhan ni, selain bertahan dari kekecewaan yang teramat berat. menghilangkan sesuatu yang disayangi dan meninggalnya jauh dari hidup secara tidak rela." Suatu pagi Hiroshi memberitahu aku.

Dan aku tidak sampai hati untuk mengatakan dia berbohong.

"Ya,mudah saja," Dia terus cuba menyakini aku.

"Pergi dan lupakan"

Dan kami pun melangkah pergi. Tanpa menoleh lagi.

23.3.10

Oksigen mana? Mana oksigen? Perlukan oksigen pada jam 5am


Jack dan Jill, sejak mutakir ini asyik ke hospital. Kalau bukan mereka yang sakit, maka sahabat mereka yang sakit akan diziarahi. Maklumlah, sahabat-sahabat mereka yang sudah diakui saudara itu semuanya spesis "cacat". Pinjam istilah adik sebab adik suka sangat istilah ni. Sudah memang 'cacat' pun, kalau guna istilah yang muluk-muluk pun( contoh: kurang upaya, kelainan upaya, insan istimewa, etc..ect..) belakang kita orang panggil cacat juga. Betul tak adik? :D

Pendek cerita semua istilah-istilah itu tidaklah banyak gunanya. Sekadar nak menyedapkan hati kita. Betul kan dik?

****
Cerita lain. Sambungan ayat petama.

Semalam kerana letih sangat Jack dan Jill, bermalam di rumah adik. Oleh kerana tadi pagi Jack perlu berkerja, maka pukul lima pagi adik sudah bangunkan kami. Bayangkan pukul 5 am - lebih-lebih gitu, Jack dan Jill naik motosikal dan sesat-sesat di Putrajaya.

Fuyooooo! Lengang! Sebiji kenderaan pun belum jumpa. Sampai boleh langgar lampu merah sini-sana. Jill terketar-ketar ketakutan. Bukan takut hantu. Takut terserempak dengan perogol, perompak dan mereka yang sewaktu dengannya. Jack pula risau, sebab dalam dompetnya cuma ada kad ATM dan duit isi minyak RM10. Kad ATM, pula bukan ada duit, gaji belum masuk maaaa..


Dari cermin motosikal, Jill ternampak sesuatu terbang(yang disahkan bukan burung,kelawar atau mana-mana superhero terkenal dunia) mengekori mereka. Dia tidak berani beritahu Jack, sebab dia sedaya upaya meyakinkan diri itu adalah imiginasinya semata.

Ya, kalian kan semua tahu Jill ada sakit yang tak berapa betul dan suka cari penyakit. Suka tengok cerita-cerita seram, puaka dan hantu-hantu.

(muzik latar..pat..pat..siku..lipat..siapa cepat..dia dapat..dicilok dari drama Penunggu Gunung Raya) :D

Sambung cerita.
Jill syak sesuatu. Agaknya pontianak Leha Kebaya Jarang dari Kampung Fatimah Kacip sudah berhijrah ke sini.

Suara azan sayup berkumandang. "Benda terbang" itu pun hilang. Letih agaknya. Asyik terbang sepanjang malam.

Sampai di rumah, Jill cepat-cepat mandi dan ambil wuduk.

Waktu entri ini ditulis, demam Jill belum juga kebah-kebah.

22.3.10

Tuhan, aku mahu mengulang kenangan

I am saving my money to buy you a raw potato,
I will scrub it with my nailbrush and bathe it in my basin,
I will cut out your initials from its smooth brown jacket,
I will gift-wrap it in pink and tie it with pink ribbons,
I will place it in a shoe box on a bed of tissue paper,
I will deliver it to your doorsteps wearing pink shoes,
You will stare at it crossly at first, as if it were a baby,
You will take it inside quickly to stop the neighbours staring,
You will not know where to put it,
You will be afraid to hold it,
You will hide it in your bedroom, to protect it from stray glances,
It will live in the furthest corner forever, and embarrass you…

…by Sophie Hannah

Quite a cute short movie, actually.

Di kala Jill kehilangan kucing kesayangannya,Coco


Jam delapan malam tadi air dari langit tumpah mencurah-curah. Jack dan Jill memberhentikan kenderaan mereka beroda empat tetapi tetap dipanggil motosikal; meneduhkan diri masing-masing di sebuah kedai mamak di tepian bandar pintar bernama Putrajaya.

Jill sedang kedinginan dan bersedih. Dia tiada selera mahu memesan makanan(sebenarnya dia tidak sukakan masakan mamak, kecuali segelas teh tarik kaw-kaw). Jack seperti selalu-selalu; lelaki separa mesin. Lansung dia tidak perasan kesedihan Jill. Tanpa berlengah, terus dia memesan nasi + kari ayam untuk mengisi perutnya yang semakin ke hadapan. Sejajar dengan pertambahan usia mereka berdua.

"Makan kat kedai mamak murah" Kata Jack.
"Ada diskaun lagi.."Sambungnya. Tidaklah pernah dia perasan cebikan bibir Jill setiap kali dia berkata begitu.

Sambil menghirup teh tarik gelas tak begitu besar, mata Jill tertancap pada sisa makanan yang tertumpah di lantai. Kelihatan seekor burung kecil basah bulunya sedang mengheret sisa makanan tersebut, lalu dibawa terbang entah ke mana. Mungkin untuk makan malam bagi anak-anak kecilnya.

Hujan semakin lebat dan Jill berdoa agar burung kecil itu selamat tiba walau ke mana destinasinya. Mata Jill berkaca-kaca. Jack berhenti menyuap nasi dan kari ayamnya sambil memandang ke wajah sugul Jill

"Kenapa ni? Jangan bimbang, Tuhan merahmati burung kecil itu sebagaimana Dia merahmati kita"

Oh! Rupanya Jack bukanlah lelaki yang teruk sangat.
Jill kembali tersenyum sambil menggenggam tangan kekasihnya.

21.3.10

Bebal


30 minit dapat 2 juta
Cara mudah dapat 2.5 juta
1 juta untuk sehari


Apa ke jadah kerjanya

lacurkan diri untuk sejuta lelaki sehari

seludup dadah ke luar negara

rompak bank

peras ugut Dato' + Datin skandal

jual orang?
jadi pembunuh upahan?


Ah!
Tolol sekali.

20.3.10

Sunyi


Ketika hari
hujan merusuh dan menumpahkan tiris
aku sekadar mampu
berpuisi
tentang salji
mengisi dini hari
dengan rundung sunyi


Kecuali rintik-rintik hujan
ku pulaukan suara-suara selainnya

16.3.10

Empat puluh


Katanya, kekasih bukanlah sepotong kek manis yang dipaluti gula aising. Bukan sebiji donat perisa coklat yang ditaburi manik-manik berwarna.



Semalam. Kekasih separa mesinku sekadar membelikan aku sebiji burger penambah kelestrol. Dia sepatutnya membelikan aku sebiji kek perisa stoberi. Cupcake pun cukuplah. Dia terlupa, ucapkan selamat pun.

Terima kasih Tuhan!
40 tahun sudah menghirup oksigen percuma.
Menghalalkan dia untukku.

15.3.10

Tragedi yang kadang membunuh rasa

Ya..jika aku melayari blog ibu-ibu apatah lagi yang masih muda, aku menjadi teramat 'emo'. Kerana mereka boleh tulis pasal baby dan anak-anak. Tiada bayi dalam hidup juga kadang tragedi. Tapi aku fikir yang positif saja(ok! ok! aku tipu....).

Kadang-kadang!

Hendak tulis pasal politik, aku elegik.

Aku? Masih mencari Hiroshi.

*sigh*

13.3.10

Setiap hari aku berdoa, agar nyawa dipanjangkan berpita-pita kerana aku banyak cita-cita(dan dosa)




Sepuluh tahun lalu pada jam 6 hingga 9 am, aku adalah seorang andalusia dan penjual nasi lemak di warung kecil. Seawal 5 am sudah bangun, membantu emak membungkus nasi lemak untuk dijual di warung kecil tepi jalan. Aku berangan-angan mahu pergi Tokyo dan mencari Hiroshi.

Hari ini pada waktu-waktu begini aku kadang menulis blog, kadang sajak dan puisi yang tak pernah tersiar di media perdana. Kadang menulis cerpen separuh jalan. Kadang menulis tugasan. Kadang aku buka folder novel yang asyik tersangkut dan berserabai sana sini. Kadang aku sakit dan terkedang di atas katil. Dan aku masih berimiginasi tentang ume, sakura, salji, musim luruh dan Hiroshi.
Belajar memetik gitar dan melagukannya di sisi Hiroshi.

Damn!

Umur sudah 40 masih berangan-angan.


Harapan - sebelum nyawaku diangkat Izrael, malaikatMu, aku mohon aku mampu siapkan sebuah novel. Untuk tatapan Hiroshi.



*dicatat ketika khayal Diazepam*

12.3.10

Hiroshi 2


Hiroshi aku berharap agar bertemu kamu lagi. Di musim sakura kembang. Atau ketika musim daun marple gugur berserakan.

~ dicatat ketika aku melihat daun nangka dan cempedak berselerak di halaman rumah pusaka Allahyarham ayahandaku pada Aidifitri tahun lalu~


PS: Hiroshi, aku baru menemui nota itu dan poskad kamu.

7.3.10

Lagu pagi minggu yang 'swallow'



Hari minggu yang muram.
macam langit yang sedang aku teropong

dan aku rasa mahu jadi heroin Final Fantasy
.
atau jadi kartun yang dibelasah pun tak mati-mati
.

Tugasan tak siap
-siap.
tukangan cerita tersangkut
.
terpaksa ponteng kelas
.
sakit


*sigh*

3.3.10

Stigma


Di HKL mereka letakkan sebelah-menyebelah antara klinik psikiatri dan klinik pesakit saraf.

Sedang aku menunggu giliran mengambil ubat, seorang makcik memandang aku semacam.

"Anak ni datang dengan siapa?"
"Suami" Kataku sambil menunjukkan kekasih mesinku.
"Siapa sakit?"
"Kami berdua ada penyakit yang sama" Dengan lurus bendulnya aku menjawab.
"Kesian!" Kata dia sambil memegang tanganku.

Kemudian dia pergi. Aku nampak dia berbisik-bisik dngan dua tiga orang. Entah siapa. Mungkin saudara-maranya.

Aku mula tak sedap hati.
Aku syak sesuatu.
Mungkin makcik itu ingat aku dan kekasih mesinku pesakit mental. Apatah lagi gaya kami memang semacam.

Sepuluh minit berlalu.
Makcik itu kembali kepadaku. Dikuti suku-sakatnya.
Sebelum dia bersuara dan bertanya itu ini, aku bersuara tegas.

"Makcik-makcik sekelian, saya pesakit saraf. Jumpa doktor sebelah sana."Kataku sambil menuding jari ke arah klinik Nureologi.

Makcik-makcik itu terdiam.

Ya! Aku terpaksa bertegas. Bukan maksud nak berkurang ajar.
Bukan sekali dua aku mengalami insiden yang sama.

1.3.10

Aku suka bermimpi indah. Tapi aku juga ngeri kalau terbangun di dunia yang lagi satu

Kata adinda Tasik Merah, jika kita mimpikan Fahrin Ahmad atau Aoron Aziz(versi aku) baru berselera sikit mahu hidup.

Siang tadi aku sangat sakit. Sampai tersalah telan ubat. Sebiji Diazepam berganda.

Nasib baik nyawa aku belum terangkat ke langit.


Dan aku mimpikan Mamat ini. Dan dia sedang memandang aku begitu.
Oh! aku ingat aku sudah ke sorga (*senyum sorang-sorang*)

Sembunyi


Apabila aku dan engkau menjadi kita. Kau dan aku melihat sesuatu yang tidak lagi serupa. Ada yang tidak lagi tersembunyi. Ada yang terahsia tanpa sengaja. Ada ribut. Ada panas. Ada hujan. Ada pasang surut; masin dan birunya laut

Ada gelora. Kadang petir. Renjatan kilat

Pasir yang terlekat; permata yang tercicir.
Kadang masih mewangikan aroma cinta. Kadang memualkan rasa.

Itulah kita